terima kasih daun keladi
Sudah menjadi trend sejak kebelakangan ini, kebanyakan kawasan kejiranan berpagar di bandar baru pinggir ibu kota sering menampilkan rumah dengan seni bina moden. Penggunaan kaca untuk dengan susun letak tingkap dan pintu juga jelas menunjukkan ciri moden yang ingin ditampilkan.
Namun, landskap yang dibangunkan tidak menampakkan ciri moden sebaliknya konsep laman tropika yang ringkas dan minimalis sering ditonjolkan. Gabungan seni bina moden dengan konsep laman tropika yang ringkas ini nampaknya sepadan dan kini menjadi satu aliran baru dalam seni hiasan landskap.
Seorang pereka landskap berkata, gabungan kediaman moden dengan laman tropika yang ringkas dan kemas ini sangat sesuai terutama bagi mereka yang sibuk dan tidak mempunyai banyak masa menyelenggarakan laman mereka.
Katanya, jumlah pokok untuk laman sebegini biasanya tidak melebihi daripada 10 jenis manakala aksesori laman pula cukup sekadar kepada lima atau enam jenis saja. Biasanya, tumpuan akan diberikan kepada titik tumpu laman yang mana kita bangunkan wakaf, pergola atau kolam mahu pun pancuran air. Sesuai dengan ciri ringkas dan kemas yang dimahukan biasanya kolam, pancuran air, wakaf atau pergola akan dibina bersebelahan atau berkait rapat antara satu sama lain.
Sesuai gaya minimalis yang mahu diketengahkan hanya ada empat jenis pokok ditanam di sekitar kawasan berkenaan seperti calathea, keladi, airis dan menerong atau cyprus. Wakaf beratap ‘singler’ pula dilengkapi empat bangku serta meja kayu manakala petunia merah jambu dan ungu diletakkan dalam pasu gantung di empat bucu pondok. Sesuai sebagai tempat istirahat, wakaf dilengkapi kipas dan soket.
Bagi menyempurnakan laman seluas 1,200 meter persegi itu, terendak lampu laman diperbuat daripada kayu, manakala sentuhan pemijak kaki daripada semiferro dibentuk seperti batang kayu diletakkan sebagai laluan menuju ke wakaf. Batu pasir hitam dan putih pula diletakkan di sekeliling pasu bunga dengan perdu pokok menjadi pemisah sempadan ruang antara kawasan berumput dengan tempat tumbuhan bernaung. Bagi menaikkan lagi seri tropika, calathea dan palma cattail ditanam berbaris tepian pagar.
Laman yang luas ditanam dengan rumput mutiara kerana penyelenggaraannya lebih mudah berbanding rumput permaidani manakala tumbuhan tanpa penjagaan rapi sesuai untuk mereka yang sibuk dan tiada masa untuk menyelenggarakan laman. Di tengah kolam diletakkan dua tempayan sederhana besar yang diletakkan air pancut di tengahnya.
Bunyi air yang jatuh dari dinding pancuran air serta buih air dari air pancut di tengah tempayan itu mendamaikan lagi suasana dan pemilik kediaman meletakkan hiasan seramik bentuk burung bangau, itik dan kura-kura bagi menyerikan ruang.Demi meredupkan lagi kawasan pancuran air berkenaan, para-para kayu balau dengan atap polikarbonat lutsinar dipasang sebagai sengkupan.
Laman banglo ini jelas mempunyai ciri tropika dan dalam masa yang sama saya bangunkan dengan gaya paling ringkas serta kemas tanpa pokok yang banyak sehingga menyemak pemandangan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan