Kami sedia menjual segala jenis Pergola, Gazebo, Meja, Pondok dan Kerusi yang di perbuat dari kayu untuk landskap rumah anda dan juga info menarik mengenai landskap. Berminat? Hubungi kami e-mail : f.a.woodconcept@gmail.com
Sabtu, 27 Ogos 2011
Wakaf Dan Bangku... Dari Kayu Hanyut
PENGGUNAAN asksesori kayu di laman amat sesuai bagi mereka yang memilih konsep tradisional, nusantara dan tropika yang sememangnya serasi serta melambangkan identiti penataan berkenaan.
Malah, penggunaan kayu itu tidak saja terhad sebagai penghias dan penyeri laman saja tetapi turut memberi nilai tambah dan warna kepada laman.
Penggunaan kayu di laman juga akan menjadikan kawasan berkenaan nampak lebih asli manakala warna laman menjadi rustic atau tampak lapuk.
Pada masa sama, aksesori kayu turut menjadikan laman tampak hidup atau tidak kaku selain kukuh dan lebih tahan lama. Pereka laman juga percaya unsur kayu seperti kerusi dan meja laman, lebih mudah dijaga dan dibersihkan berbanding bahan hias yang lain. Di pasaran ada pelbagai jenis hiasan kayu yang sesuai untuk laman dan boleh dipadankan dengan pelbagai konsep laman.
Untuk hiasan yang besar sudah tentu kerusi, meja dan bangku panjang menjadi pilihan peminat seni laman begitu juga pagar kayu. Namun, perabot laman yang besar perlu disesuaikan dengan saiz laman. Jika laman kecil, elak penggunaan perabot yang besar sebaliknya hadkan jumlah penggunaan perabot.
Pergola, wakaf dan junjungan daripada kayu lebih menjadi pilihan berbanding bahan lain kerana menampilkan nilai estetika dan nampak lebih asli serta sepadan tumbuhan hijau di sekelilingnya. Bagi aksesori kecil, antara yang paling popular adalah rumah burung, peti surat, terendak lampu dan panel hiasan dengan ukiran sesuai konsep laman. Ada juga peminat seni laman yang menggunakan kotak kayu sebagai ganti pasu atau kotak tanaman.
Bagi konsep laman Inggeris, pastinya hiasan kayu ini dicatkan dengan warna putih kerana ia salah satu ciri penting dalam konsep laman berkenaan. Untuk gaya nusantara atau bali, biasanya kayu hanya di barnis atau dicat dengan pengilat kerana warna dan corak kayu asli perlu ditampilkan.
Satu lagi perkara yang perlu di ambil kira jika memilih perabot kayu sebagai perabot laman adalah aspek ketahanannya. Bagi kayu bermutu tinggi seperti cengal, meranti dan jati, tidak ada masalah jika ia terdedah kepada kepanasan, hujan serta kelembapan. Untuk kayu seperti merbau, resak dan berlian yang dikategori sebagai sederhana kuat, ia lebih sesuai menjadi hiasan kecil yang diletakkan di bawah teduhan bukannya terdedah kepada cahaya matahari dan air.
Kayu memiliki pelbagai kelebihan berbanding material yang lain seperti besi, plastik dan rotan kerana ia tahan pada tekanan dan lenturan. Selain itu, kayu juga mempunyai tekstur yang indah dan baik serta fizikalnya yang pelbagai daripada ringan dan boleh mengapung kepada kayu berat.
Namun, kayu juga ada beberapa kelemahan. Antaranya, kayu mudah diserang serangga pemakan kayu seperti anai-anai. Biasanya kayu akan reput jika berada dalam keadaan kelembapan yang tinggi atau terendam di dalam air dalam jangka waktu yang lama.
Kayu juga mudah terbakar jika terdedah kepada kepanasan melampau. Jika terdedah kepada cahaya matahari yang terlalu lama, kemungkinan juga menyebabkannya reput atau berubah bentuk kerana mengecut.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan